Undi artis pilihan di Express E-Hits

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Para penggemar muzik daripada penyanyi dan komposer tempatan boleh menyaksikan dan mendengarkan lagu-lagu terbaharu artis tempatan serta mengundi artis pilihan mereka semasa rancangan terbaharu terbitan RTB, Express E-Hits.

Sehubungan dengan itu, laman sesawang Express E-Hits telah dirasmikan hari ini pada majlis yang diadakan di Stesen Radio Televisyen Brunei (RTB), di sini.

Hadir untuk menyempurnakan perasmian laman sesawang berkenaan ialah Pemangku Pengarah RTB, Haji Azman bin Haji Abdul Rahim. Turut hadir ialah pegawai-pegawai dan kakitangan RTB.

Penerbit rancangan baharu itu, Awang Mohd Hirwan bin Ibrahim dalam ucapan penerangannya menyatakan harapan rancangan berkenaan dapat dijadikan platform bagi industri kreatif di Negara Brunei Darussalam khususnya dalam penciptaan lagu serta mendorong komposer dan penyanyi menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti setanding dengan negara luar.

Beliau menambah bahawa orang ramai akan menjadi penentu lagu mana yang digemari dan disukai untuk mengungguli carta Top10 Express E-Hits.

Haji Azman ketika merasmikan laman sesawang Express E-Hits sambil disaksikan oleh Awang Mohd Hirwan.
Haji Azman serta pegawai dan kakitangan RTB yang menghadiri majlis perasmian berkenaan.

Rancangan itu merupakan sebuah program terbitan Unit Realiti TV, Seksyen Perisian Kreatif yang menampilkan carta lagu terbaharu dan dibukakan kepada penyanyi, penulis lirik dan komposer tempatan.

Program itu menampilkan Dj Alif dan Nana sebagai penyampai dan akan mula bersiaran secara langsung bermula 5 September di RTB Aneka, Pelangi FM dan RTBGo GoLIVE.

Carta lagu terbaharu akan dicalonkan dalam carta Top 10 setiap minggu. Pencalonan dan undian carta akan dibuat melalui media sosial dan laman sesawangnya setiap minggu. Selain itu, carta mingguan juga dapat diikuti di RTB Perdana, RTB Aneka dan RTB Sukmaindera.

Selain daripada carta lagu Top 10, program juga akan menyaksikan kemunculan penyanyi dan komposer yang mempromosikan lagu mereka melalui persembahan serta di akhir program, kuiz bagi penonton di rumah juga diselitkan.