Undi calon pilihan raya dalam keranda

MEXICO, 7 APRIL – Seorang calon kongres Mexico melancarkan kempen pilihan raya dalam keranda kelmarin untuk mengingati ribuan kematian di negara itu akibat wabak koronavirus dan keganasan yang berkaitan dengan kartel.

Carlos Mayorga, calon untuk parti Encuentro Solidario di negara bahagian utara Chihuahua, mengatakan beliau mengirim mesej kepada ahli politik bahawa semakin ramai terkorban ‘kerana sikap tidak peduli mereka’.

Mayorga tiba di dalam keranda berwarna emas pada perhimpunan kempen di jambatan antara bandar sempadan Mexico Ciudad Juarez dan El Paso, Texas.

Beliau ditemani pembantu yang mengenakan alat pelindung diri dan membawa kalungan bunga untuk menarik perhatian tentang jumlah korban COVID-19 Mexico lebih 200,000 antara tertinggi di dunia.

Ahli politik “terus berdiam diri mengenai tahap jenayah terancang yang tinggi. Mereka diam mengenai keadaan COVID-19 yang kacau,” kata Mayorga.

Lebih dari 300,000 orang telah dibunuh di Mexico sejak kerajaan mengerahkan tentera dalam perang melawan dadah pada tahun 2006, menurut angka rasmi.

Kempen untuk pilihan raya pertengahan bulan Jun telah membawa gelombang keganasan politik yang menyaksikan 16 calon dibunuh. – AFP