Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Undi calon tunggal ketua Kg Kiudang, Pad Nunok

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Jabatan Daerah Tutong

    TUTONG, 18 FEB – Seramai 228 orang daripada seramai 318 orang penduduk Kampung Kiudang dan Pad Nunok yang berdaftar dan layak telah membuang undi bagi menentukan ketua Kampung Kiudang dan Pad Nunok, Mukim Kiudang.

    Awang Muhammad Rifaie bin Haji Abdul Rahim @ Cyril Wong Selangkir, 47, merupakan calon tunggal yang layak bagi mengisikan kekosongan jawatan berkenaan.

    Daripada jumlah pengundi berkenaan, seramai 24 orang (10.5 peratus) telah mengundi menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK yang telah bermula dua hari lalu, manakala itu, dua orang (0.9 peratus) mengundi menggunakan tablet dan 202 orang (88.6 peratus) menerusi kertas undi pada majlis pengundian dan pemilihan yang dijalankan secara pandu lalu di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pad Nunok, Daerah Tutong, hari ini.

    Hadir menyaksikan pengundian itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit, juga selaku pengerusi bersama majlis; dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohd Amirul Hadi bin Haji Mohd Tajudin.

    Awang Mohd Amirul Hadi, dalam ucapannya antaranya menyatakan bahawa kaedah secara dalam talian dan di luar talian, merupakan kaedah baharu yang buat julung kalinya diaplikasikan pada majlis pemilihan dan pengundian penghulu Mukim Lamunin sebelumnya.

    Dengan adanya penambahbaikan kepada kaedah pengundian ini, jelas beliau, ia diharap akan dapat menggalakkan para penduduk kampung untuk turut serta mendaftar dan mengundi calon atau calon-calon yang bertanding, demi menentukan pemimpin akar umbi yang akan memimpin sesebuah mukim atau kampung.

    Terdahulu beliau telah merakamkan penghargaan atas usaha para penduduk kampung berkenaan melaksanakan tanggungjawab mereka bagi menentukan bakal pemimpin ketua kampung dengan sebulat suara menggunakan kaedah-kaedah dan tempoh masa yang ditetapkan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, calon tunggal ketua Kampung Kiudang dan Pad Nunok merupakan Pengawas Kejiranan Kampung Kiudang dan pernah bertugas selaku jurutera pesawat, Tentera Udara Diraja Brunei sebelum bersara daripada perkhidmatan kerajaan.

    Keputusan pengundian dan pemilihan calon akan dihadapkan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi proses selanjutnya.

    Yang Berhormat Haji Ramli dan Awang Mohd Amirul Hadi hadir menyaksikan pengundian tersebut.
    Antara penduduk dari Kampung Kiudang dan Pad Nunok yang telah hadir mengundi secara pandu lalu di Dewan Kemasyarakatan, Kampung Pad Nunok, Daerah Tutong.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...