Undi demi kestabilan, kemakmuran – Putin

MOSCOW, 30 JUN – Presiden Vladimir Putin hari ini menggesa warga Rusia supaya mengambil bahagian dalam pengundian di seluruh negara mengenai pembaharuan perlembagaan untuk menjamin ‘kestabilan, keselamatan dan kemakmuran.’

Dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen sebelum pengundian berakhir esok, Putin berkata warga Rusia harus mengundi untuk negara ‘yang ingin kami warisi kepada anak-anak kami’ tetapi tidak menyebut tentang pindaan kontroversi yang akan membenarkannya kekal berkuasa sehingga 2036.

Penduduk Rusia mula mengundi pada minggu lalu mengenai beberapa perubahan perlembagaan yang dicadangkan oleh Putin, termasuk menetap semula had penggal presiden yang membenarkannya bertanding dua kali lagi selepas penggal enam tahunnya berakhir pada 2024.

Pindaan lain akan memperkukuh kuasa presiden dan parlimen, memasukkan nilai-nilai tradisional termasuk pengharaman ke atas perkahwinan homoseksual dan menjamin gaji serta pencen minimum yang lebih baik.

“Kita mengundi untuk negara, dengan pendidikan dan penjagaan kesihatan moden, dengan perlindungan sosial untuk rakyat, dengan kerajaan efektif yang bertanggungjawab ke atas masyarakat,” kata Putin. “Kita mengundi untuk negara, kita mahu mewarisinya kepada anak-anak dan cucu.” Dua dewan parlimen Rusia telah pun meluluskan pindaan tetapi Putin berkata ia hanya akan berkuat kuasa sekiranya disokong oleh majoriti pengundi.

“Kita boleh menjamin kestabilan, keselamatan, kemakmuran dan kehidupan memuaskan hanya menerusi pembangunan bersama,” kata beliau. – AFP

Gambar fail menunjukkan Presiden Rusia Vladimir Putin (tengah) menyaksikan perarakan tentera Hari Kemenangan sempena ulang tahun ke-75 kekalahan Nazi di Moscow. – AP