MONACO, 25 Ogos – Juara bertahan, Real Madrid akan berdepan dengan Borussia Dortmund dan Tottenham Hotspur dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, sementara juara lima kali Bercelona diundi bersama dengan pemenang kedua musim lepas, Juventus semalam.
Skuad Zinedine Zidane memburu gelaran Eropah ketiga berturut-turut dan empat dalam lima musim selepas membelasah juara Itali Juventus 4-1 di Cardiff pada Jun lepas.
Juara Eropah dengan rekod 12 kali itu juga akan berdepan dengan APOEL dari Cyprus dalam Kumpulan H yang mencabar, yang akan menyaksikan Gareth Bale berdepan Spurs buat pertama kali sejak berpindah ke Real pada tahun 2013.
“Kami adalah pemegang gelaran, jadi memang ada motivasi tambahan bagi pasukan yang anda hadapi. Ia pastinya tidak akan mudah, kami perlu bermain dengan baik dan mendapatkan prestasi terbaik kami,” kata jurucakap Real dan bekas penyerang, Emilio Butragueno.
“Kami kerap bermain menentang Borussia Dortmund kebelakangan ini dan tahu bahawa mereka sangat bagus. Tottenham telah membuktikan bahawa mereka adalah pasukan Liga Perdana yang kuat.”
Penyerang Tottenham Harry Kane berkata dia teruja bermain menentang juara bertahan.
“Anda mahu menguji diri anda menentang yang terbaik dan Real Madrid adalah pasukan terbaik ketika ini,” kata Kane.
Barcelona menewaskan Juventus 3-1 di final 2015 tetapi kelab Sepanyol itu telah mengharungi bulan sukar dengan Neymar berpindah ke Paris Saint-Germain dengan perjanjian mahal 222 juta euro.
Mereka juga akan menentang juara Greece, Olympiakos dan Sporting Lisbon dalam persaingan Kumpulan D.
“Ia adalah kumpulan peringkat tinggi dengan empat pasukan bersejarah. Kami akan berjuang menentang pesaing terkemuka dan perlawanan-perlawanan menentang mereka akan menentukan peluang kami dalam kumpulan,” kata pengurus besar Barca, Pep Segura.
Ketua pengarah Juve, Beppe Marotta berkata bahawa Barca lebih lemah susulan penjualan rekod Neymar.
“Kehilangan pemain seperti Neymar sangat menjejaskan. Kami akan lihat bagaimana mereka menggantikannya. Tetapi Barcelona tetap pasukan yang berkualiti tinggi dengan beberapa individu hebat,” kata Marotta.
Jurulatih Bayern Munich, Carlo Ancelotti akan kembali ke Paris dalam Kumpulan B, yang juga menampilkan Celtic dan Anderlecht.
“Ia adalah kumpulan yang menyeronokkan, dengan beberapa pasukan bagus dan Paris mengunggulinya,” kata Ancelotti.
“Ia kisah bagus untuk saya bertemu bekas kelab saya sekali lagi. Seperti yang diketahui semua orang, Celtic mendapat sokongan kuat dari penyokong mereka. dan Anderlecht tidak boleh dipandang rendah kerana mereka adalah juara Belgium.
Jurulatih PSG, Unai Emery, dilihat akan mara lebih jauh selepas kekalahan mengejut musim lepas kepada Barca, menjangkakan pasukannya menyertai Bayern dalam 16 pasukan terakhir.
“Bayern Munich adalah pasukan yang kuat. Kami akan menjadi pasukan pilihan kedua,” kata Emery.
Chelsea, salah sebuah daripada lima pasukan Inggeris yang layak bagi peringkat kumpulan, akan bertemu Atletico Madrid dalam Kumpulan C serta Roma dan Qarabag, pasukan pertama dari Azerbaijan untuk mara ke peringkat kumpulan kejohanan itu. Jose Mourinho akan melawat tanah airnya dengan Manchester United selepas mereka ditempatkan dalam Kumpulan A dengan Benfica, CSKA Moscow dan Basel.
Manchester City kendalian Pep Guardiola dalam Kumpulan F bersama Shakhtar Donetsk, Napoli dan Feyernood. Sementara Liverpool akan bermain menentang Spartak Moscow, Sevilla dan Maribor dalam kumpulan E. – AFP