UNDP: Hampir 90 peratus populasi dunia prejudis wanita

NEW YORK, 6 MAC – Hampir 90 peratus daripada populasi dunia mempunyai prejudis tertentu terhadap wanita, menurut satu hasil kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan, semalam, menjelang Hari Wanita Antarabangsa.

Kajian oleh Program Pembangunan PBB (UNDP) itu membabitkan 75 negara yang mewakili 80 peratus daripada populasi dunia, mendapati sembilan daripada setiap 10 orang termasuk wanita, berpegang kepada kepercayaan sedemikian. Pandangan prejudis itu termasuklah lelaki merupakan ahli politik dan pemimpin perniagaan yang lebih baik daripada wanita; kemasukan universiti lebih penting bagi lelaki berbanding wanita; dan lelaki harus diberi keutamaan dalam pasaran kerjaya yang kompetitif.

Pakistan mencatatkan peratusan terbesar mereka yang berpegang kepada sekurang-kurang satu kecenderungan seksisme, iaitu 99.81 peratus orang memiliki prejudis sama, diikuti kedua-dua Qatar dan Nigeria sebanyak 99.73 peratus. Negara yang mempunyai populasi terendah berpegang pada kepercayaan seksisme pula ialah Andorra (27.01 peratus), Sweden (30.01 peratus) dan Belanda (39.75 peratus).

Perancis, Britain dan Amerika Syarikat (AS) masing-masing mencatat 56 peratus, 54.6 peratus serta 57.31 peratus orang mempunyai sekurang-kurang satu kecenderungan seksisme.

Statistiks berkenaan menunjukkan ‘petunjuk baharu kepada halangan tidak nampak yang dihadapi wanita untuk mencapai kesaksamaan’ biarpun selepas ‘kemajuan selama berdekad-dekad’, menurut UNDP dalam satu kenyataan dilampirkan bersama laporan itu.

“Usaha begitu berkesan bagi memastikan tiada jurang dalam kesihatan atau pendidikan kini mesti berkembang untuk menangani suatu perkara jauh lebih mencabar: berat sebelah yang ditanam – dalam kalangan lelaki dan wanita – terhadap kesaksamaan sebenar,” kata Pentadbir UNDP, Achim Steiner. – AFP