UNESCO lindungi bangunan bersejarah Lubnan

PARIS, 13 OGOS – Agensi kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNESCO berjanji hari ini akan memimpin usaha melindungi warisan di Lubnan selepas letupan pelabuhan di Beirut pada minggu lalu, mengingatkan bahawa 60 bangunan bersejarah berdepan risiko roboh.

Kesan letupan terasa di seluruh ibu negara Lubnan tetapi beberapa kerosakan paling teruk terletak di Gemmayzeh dan Mar-Mikhael, tidak jauh dari pelabuhan. Kedua-duanya merupakan tempat terletaknya sebahagian besar bangunan bersejarah.

“Komuniti antarabangsa telah mengeluarkan sokongan kepada Lubnan berikutan tragedi yang menimpa negara itu,” kata Ernesto Ottone, penolong Ketua Pengarah Kebudayaan UNESCO.

“UNESCO komited untuk memimpin respons dalam bidang kebudayaan, yang mesti membentuk usaha pembinaan semula dan pemulihan yang lebih meluas.”

Sarkis Khoury, ketua antikuiti di kementerian kebudayaan Lubnan, melaporkan pada mesyuarat dalam talian minggu ini untuk menyelaras respons bahawa sekurang-kurangnya 8,000 bangunan terjejas, kata pertubuhan yang berpangkalan di Paris.

“Di antaranya adalah 640 bangunan bersejarah, kira-kira 60 yang berdepan risiko roboh,” kata UNESCO dalam satu kenyataan. – AFP