Ungkap rasa terkilan

Penyanyi Zarul Umbrella mengakui terkilan dengan tanggapan segelintir warganet yang memperlekeh kerjaya pramugara dan menganggap mereka sekadar pelayan restoran biasa.

Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin, 45, berkata dia kurang senang apabila ada yang meninggalkan komen dengan cara kasar dan seolah tidak puas hati sehingga ke tahap menghina kerjaya terbabit.

Meskipun sudah tidak berkhidmat sebagai pramugara, Zarul bagaimanapun menyarankan anak muda yang berminat untuk meneruskan cita-cita mencuba kerjaya berkenaan.

“Saya sangat menyarankan supaya mereka mencuba kerjaya ini disebabkan ia juga pekerjaan profesional. Mereka akan menerima latihan intensif yang sangat berguna dan bukan sekadar menghidang makanan atau cuci tandas. Kelebihan seperti dapat melancong sambil dibayar adalah sesuatu yang menyeronokkan. Meskipun ada juga pro dan kontra termasuklah tanggapan negatif, abaikan saja hal itu asalkan mereka seronok dengan skop kerjanya,” katanya.

Zarul pernah berkhidmat sebagai pramugara selama 16 tahun dan memulakan kerjayanya pada Januari 2000. Bagaimanapun, pada 31 Disember 2016, dia meninggalkan kerjaya berkenaan dan kembali aktif dalam bidang seni. Terdahulu, Zarul pernah menyelar komen seorang warganet yang ditinggalkan di YouTube. Zarul kemudian berkongsi mengenai hal itu di Instagramnya. – Agensi

Zarul pernah berkhidmat sebagai pramugara selama 16 tahun dan memulakan kerjayanya pada Januari 2000. – Agensi