UNIC kehilangan seorang anggota

Selepas empat tahun bersama kumpulan nasyid UNIC, salah seorang anggotanya, Wan Najdi Wan Mohd Noh atau Najdi membuat keputusan mengundurkan diri.

Biarpun keputusan sukar dilakukan, apatah lagi perlu memikirkan perasaan dua anggota UNIC, Fakhrul dan Bazli, Najdi akhirnya nekad dengan keputusan dibuat.

“Saya sudah memaklumkan keputusan kepada Fakhrul dan Bazli, cuma mereka belum memberi maklum balas.

“Mungkin ada pihak anggap keputusan ini tak matang dan mementingkan diri, tetapi saya tak boleh terus halang orang melemparkan anggapan. Ini mengenai keputusan hidup dan kebahagiaan saya.

“Sudah lama saya mempertimbangkan hal ini. Hanya sekarang ada kekuatan berbuat demikian. Saya harap keputusan ini dihormati,” katanya yang turut memaklumkan pengunduran diri dalam laman Instagram.

Najdi berkata, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi detik paling getir, sekali gus membulatkan keputusan yang dibuat.

Sementara itu, Fakhrul mewakili UNIC berkata, dia menghormati keputusan Najdi.

“Keputusannya kami hormati. Kami mendoakan Najdi terus berjaya dengan apa sahaja yang dilakukan.

“Setakat ini, perjuangan UNIC diteruskan bersama saya dan Bazli,” kata Fakhrul. – Agensi

Najdi UNIC (kanan) telah membuat keputusan mengundurkan diri atas sebab keluarga. – Agensi