Wednesday, April 17, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    UNICEF: 11 pelajar sekolah maut di Myanmar

    YANGON, 20 SEPT – Sekurang-kurangnya 11 orang pelajar sekolah maut dalam satu serangan udara dan tembakan ke atas sebuah kampung di Myanmar, agensi kanak-kanak PBB mengatakan hari ini, satu serangan yang menurut junta menyasarkan pemberontak bersembunyi di kawasan itu.

    Myanmar dibelenggu kekacauan sejak tentera merampas kuasa pada Februari tahun lalu, dengan hampir 2,300 orang awam terbunuh dalam tindakan keras ke atas penentang, menurut kumpulan pemerhati tempatan.

    Kawasan Sagaing di barat daya negara itu telah dicengkam pertempuran sengit dan sebuah kampung turut menjadi mangsa apabila terbakar keseluruhannya dalam pertempuran antara pejuang antikudeta dan tentera.

    Agensi kanak-kanak PBB, UNICEF mengecam insiden berlaku pada Jumaat lalu di bandar Depeyin, Sagaing.

    “Pada 16 September, sekurang-kurangnya 11 orang kanak-kanak mati dalam satu serangan udara dan insiden kebakaran di kawasan awam,” kata UNICEF dalam satu kenyataan dikeluarkan kelmarin.

    Menurutnya, sekolah mestilah selamat dan tidak sepatutnya menjadi sasaran.

    “Sekurang-kurangnya 15 kanak-kanak dari sekolah sama masih hilang,” kata UNICEF, menyeru bagi pembebasan segera kanak-kanak itu. Rakaman video diperoleh dari kumpulan komuniti tempatan menunjukkan sebuah kelas penuh tompokan darah di lantainya, rosak bahagian bumbung dan seorang ibu menangis berhampiran mayat anak lelakinya.

    Junta mengesahkan mereka mengerah tentera dalam helikopter ke kampung itu bagi memerangi Tentera Pembebasan Kachin – sebuah kumpulan pemberontak etnik – yang dituduhnya menggunakan orang awam sebagai perisai manusia, menambah ia telah merampas periuk api dan bahan letupan dari kampung tersebut. – AFP

    Beg sekolah kelihatan dekat kesan darah di lantai sekolah menengah di Kampung Let Yet Kone, bandar Tabayin di kawasan Sagaing, Myanmar baru-baru ini. Serangan itu meragut 11 nyawa. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...