UNICEF bantu kanak-kanak terjejas banjir di vietnam

HANOI, 23 OKT – Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) akan memberikan bantuan kecemasan sekurang-kurangnya AS$100,000 kepada wilayah tengah yang dilanda banjir dan tanah runtuh berikutan hujan berterusan sejak dua minggu lalu.

“UNICEF telah memperuntukkan  bantuan awal AS$100,000 sebagai bantuan kecemasan untuk air, sanitasi, kebersihan, kesihatan, pemakanan, dan pendidikan, serta sokongan psikososial dan perlindungan kanak-kanak,” lapor agensi berita Vietnam (VNA) memetik Perwakilan UNICEF di Vietnam, Rana Flowers kelmarin.

Beliau menambah dalam menangani risiko kesihatan dengan segera, adalah juga mustahak untuk memastikan kanak-kanak kembali belajar.

Dalam kenyataan yang sama, pakar UNICEF sedang melakukan tinjauan di wilayah yang paling teruk terjejas untuk menilai keperluan kanak-kanak dan wanita.

Berdasarkan tinjauan itu, UNICEF akan mengumpulkan dan memperuntukkan dana dan kepakaran selanjutnya bagi menyokong Kerajaan dan masyarakat untuk menangani pelbagai cabaran.

Bencana alam di negara ini telah menyebabkan lebih daripada 1.5 juta kanak-kanak tempatan berhadapan risiko penyakit, pemakanan yang buruk dan perkembangan yang tertunda, kata agensi PBB berkenaan.

Sekurang-kurangnya 135,000 keluarga terjejas secara langsung apabila paras air banjir setinggi dua meter di komuniti tertentu, dan lebih setengah juta orang tidak mendapat sumber air bersih.

Di samping itu, 42 klinik mengalami kerosakan dan banyak lagi terhalang oleh banjir, menyebabkan ibu dan anak terpisah daripada rawatan kesihatan asas dan pencegahan yang sangat penting pada waktu risiko peningkatan penyakit ini.

Sekolah di banyak kawasan terpaksa ditutup buat sementara waktu dan hampir 1.2 juta pelajar ketika ini tidak bersekolah dan pembelajaran mereka terganggu. – Bernama

Gambar fail anggota bomba dan penyelamat memindahkan kanak-kanak dan keluarga mereka yang terjejas akibat banjir di wilayah Quang Tri, Vietnam baru-baru ini. – Xinhua