UNICEF: Jumlah kematian campak meningkat 15

WELLINGTON, 19 NOV – Jumlah kematian wabak campak di negara Pasifik Samoa telah meningkat kepada 15, dengan kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak, kata UNICEF hari ini.

Agensi Kanak-kanak PBB berkata kes campak yang disyaki telah meningkat 1,000 orang di negara pulau itu, yang telah diumumkan darurat dan melancarkan program vaksinasi wajib.

“Epidemik telah meragut 14 jiwa kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan seorang dewasa,” katanya dalam kenyataan.

UNICEF berkata ia dalam proses menghantar lebih 110,000 dos vaksin campak kepada penduduk Samoa yang ramainya kira-kira 200,000 orang.

Dengan virus itu merebak ke seluruh Selatan Pasifik, agensi berkata ia juga menghantar vaksin ke Tonga dan Fiji.

Para pegawai juga membantu persediaan bagi potensi letusan di Vanuatu, Pulau-pulau Solomon, Kiribati, Pulau Cook, Pulau Marshall dan Micronesia. – AFP

Gambar dari video menunjukkan kanak-kanak diberikan vaksin di sebuah klinik kesihatan di Apia, Samoa. – AP