NEW YORK, 29 DIS – Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengecam pembunuhan dan pembakaran 35 orang, termasuk empat kanak-kanak, dan dua orang pegawai ‘Save the Children’ di Timur Myanmar, lapor Sputnik, memetik pengumuman UNICEF dalam satu kenyataan kelmarin.
“UNICEF terkejut dan sedih dengan laporan pembunuhan dan pembakaran sekurang-kurangnya 35 orang, termasuk empat kanak-kanak dan dua kakitangan organisasi kemanusiaan Save the Children, di Negeri Kayah di Timur Myanmar, pada 24 Disember,” kata kenyataan itu.
Laporan yang boleh dipercayai menunjukkan bahawa empat kanak-kanak telah terbunuh dalam serangan itu, termasuk dua remaja lelaki berusia 17 tahun, seorang remaja perempuan dan seorang kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun, kata UNICEF. – Bernama