Unikats sahut cabaran e-Sports antarabangsa di KL

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Ansara e-Sports Club telah menjemput pasukan e-Sports tempatan untuk bertanding di Pertandingan Pemilihan Asian e-Sports Wanita (FEAR) 2018 yang akan berlangsung di Malaysia.

Wakil dari Negara Brunei Darussalam adalah Kumpulan Unikats, yang telah berlepas ke Malaysia pagi tadi untuk menyertai pertandingan permainan komputer ‘CSGO’ dan bersaing dengan pemain-pemain e-Sports dari negara-negara lain.

Pertandingan itu nanti akan berlangsung di Asia Pacific University di Kuala Lumpur dan akan menyaksikan peringkat akhir berlangsung pada hujung minggu ini.

Dalam pertandingan itu nanti, juara pertandingan akan memenangi hadiah bernilai RM10,000, diikuti tempat kedua sebanyak RM5,000 dan di tempat ketiga RM1,000.

FEAR direka khas untuk menyediakan platform bagi pemain-pemain e-Sports wanita di seluruh Asia untuk bertanding pada peringkat antarabangsa dalam usaha untuk mempertingkat prestasi dan menambah pengalaman para pemain.

Barisan pemain Unikats bergambar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebelum berlepas ke Malaysia.