UNISSA adakan Forum Bahasa Arab

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Sambutan Bahasa Arab bersempena Hari Bahasa Arab Sedunia yang diadakan di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) diserikan lagi dengan Forum Bahasa Arab yang berlangsung di Dewan Auditorium UNISSA, hari ini.

Forum pada sambutan yang dianjurkan bersama oleh UNISSA, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei itu telah disertai oleh para panel yang terdiri daripada ahli-ahli tenaga akademik dari institusi pengajian tinggi di negara ini.

Mereka adalah Dr Asri bin Lubis dari UNISSA; Dr Abdel Baset Slama  Abdelbaset Sebael Hekal dari KUPU SB dan Dr Mohammed Mohiel Din Ahmed dari Universiti Brunei Darussalam.

Forum tersebut yang mengetengahkan tajuk ‘Bahasa Zikir di Negara Zikir’, antara lainnya membincangkan mengenai kepentingan Bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam.

Selain itu, turut diadakan Pertandingan Mufradat Bahasa Arab, di mana penyertaannya dibukakan kepada sekolah persediaan Arab dan Sekolah Al-Falah, bertujuan untuk menguji pengetahuan para peserta mengenai beberapa perkataan asas dalam Bahasa Arab.

Turut diadakan ialah Pertandingan Mari Bercerita dalam Bahasa Arab, yang bermatlamat untuk menanamkan keyakinan dalam diri pelajar untuk tampil di hadapan khalayak ramai.

Acara turut disusuli dengan Pertandingan Imla peringkat akhir, di mana para peserta dikehendaki untuk menulis semula teks yang dibacakan oleh pembaca teks dalam Bahasa Arab.

Sebahagian pelajar dan guru yang hadir pada Forum Bahasa Arab yang diadakan di Dewan Auditorium UNISSA, kelmarin.