UNISSA anjur bersama AICIF ke-9

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) dengan kerjasama tujuh buah universiti ASEAN telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Kewangan Islam Universiti-universiti ASEAN (AICIF) ke-9 yang berlangsung selama tiga hari hingga hari ini.

Menurut kenyataan UNISSA, AICIF merupakan persidangan kerjasama tahunan yang dianjurkan oleh tujuh buah universiti ASEAN secara bergilir-gilir iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Malaysia; Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga (UIN SUKA), Yogyakarta, Indonesia; Universitas Islam Sultan Agung Semarang (UNISSULA), Indonesia; Universitas Darussalam Gontor (UNIDA), Indonesia; UNISSA, Brunei Darussalam; Mindanao State University (MSU), Filipina dan Institut Agama Islam Tazkia Bogor Indonesia.

Pada tahun ini, UIN SUKA telah dipilih untuk menjadi tuan rumah AICIF ke-9 yang bermula 17 November lalu dengan tema Strengthening Islamic Economy and Halal Industry towards Economic Recovery and Sustainable Development Amidst the Pandemic.

Hadir sebagai tetamu kehormat majlis perasmian persidangan tersebut ialah wakil Presiden Republik Indonesia, Profesor Dr KH Ma’ruf Amin.

Dua ucaptama telah dibentangkan pada acara perasmian tersebut iaitu Financial Policy Islamic Economics and Halal Industry in Pandemic Era oleh Menteri Kewangan Indonesia, Puan Yang Terutama Sri Mulyani Indrawati dan Islamic Economy and Halal Industry in Pandemic Era oleh Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN), Indonesia, Tuan Yang Terutama Erick Thohir.

Dr Abdul Nasir mewakili UNISSA pada Mesyuarat Penganjur Bersama AICIF yang dihadiri secara maya oleh tujuh buah universiti ASEAN. – Gambar serahan UNISSA

Enam sesi pleno pula mengetengahkan pembentang-pembentang jemputan dari beberapa buah agensi dan universiti dalam dan luar negara untuk membincangkan beberapa tema utama persidangan.

Timbalan Dekan FEKIm, UNISSA, Hajah Nur Annisa binti Haji Sarbini telah mengongsikan pengalaman dan pelaksanaan program Ekonomi Islam dan Pengurusan Perniagaan di Brunei khasnya yang ditawarkan oleh UNISSA.

Selain itu, sebanyak 175 kertas kerja terpilih dari 48 buah universiti dan institusi pengajian tinggi dari 13 buah negara telah dibentangkan dalam beberapa sesi selari pada 18 dan 19 November.

Kertas kerja yang dibentangkan meliputi bidang-bidang utama iaitu Kewangan Sosial Islam, Ekonomi Islam, Keusahawanan Islam dan Inovasi di Era Pandemik, Pelaburan Hijau, Pertanian dan Perakaunan.

Manakala itu, malam tadi, Mesyuarat Penganjur Bersama AICIF telah diadakan secara maya bagi membincangkan beberapa agenda penting mengenai perancangan masa depan AICIF, antaranya pemilihan tuan rumah AICIF ke-10, penambahan ahli baharu ke dalam AICIF, dan penjenamaan semula AICIF.

Hadir mewakili UNISSA ialah Dekan FEKIm, Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.