UNISSA anjur hari terbuka

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 FEB – Dalam usaha memberi peluang kepada orang ramai dan pelajar-pelajar untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai program-program yang ditawarkan, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) akan mengadakan Hari Terbuka selama dua hari bermula pada 24 hingga 25 Februari 2021 di Dewan Auditorium UNISSA.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, hari ini, terdapat pelbagai program akademik ditawarkan iaitu pada peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah dan Diploma Tertinggi Kebangsaan (HND).

Pada tahun ini, UNISSA telah membuka dua Fakulti baharu iaitu Fakulti Pertanian dan Fakulti Teknologi Islam di samping program-program yang sedia ada iaitu Fakulti Bahasa Arab, Fakulti Usuluddin, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Fakulti Pengurusan Kewangan Islam, Fakulti Pembangunan Pengurusan Islam dan Pusat Penyelidikan Halalan Tayyiban.

Turut diadakan pada hari terbuka adalah bazar jualan amal yang menjual beraneka jualan daripada peniaga tempatan dan mahasiswa-mahasiswi UNISSA.

Orang ramai dialu-alukan hadir ke Hari Terbuka UNISSA nanti.

Mereka boleh meletakkan kereta di kawasan padang dan balapan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan kawasan letak kereta Zon C.

Perkhidmatan shuttle bus juga akan disediakan.

Hari Terbuka UNISSA yang diadakan turut berpandukan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, dan orang ramai disarankan mematuhi peraturan termasuk pemeriksaan suhu badan, imbasan Kod QR dan penjarakan sosial.

Maklumat terkini boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi Instagram dan Facebook UNISSA.