BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi 80 orang yang telah menamatkan pembacaan 30 Juzuk Al-Quran sepanjang bulan Ramadan, kelmarin.
Majlis tahun ini dijalankan dengan menggunakan platform dalam talian sebagai menyahut seruan kerajaan bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19, menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.
Bacaan khatam pula dipimpin oleh Yang Di-Pertua MPP, Awang Muhammad Hanafi bin Rosli dan disusuli dengan bacaan takhtim dan Doa Khatam Al-Quran yang diketuai oleh Ketua Unit Keugamaan dan Kerohanian MPP, Awang Muhammad Najiihuddin bin Nooralizam.
Dr Haji Norarfan dalam ucapan ringkasnya antara lain metahniah kepada MPP kerana berjaya mengungkayah majlis tersebut dan juga program-program yang lain dalam bulan Ramadan ini.
Menurutnya, dalam suasana kehidupan yang masih dalam keadaan berwaspada akibat wabak COVID-19, ia tidak menghalang untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti keagamaan sebagaimana yang dilakukan setiap tahun.
Sementara itu, Awang Muhammad Hanafi dalam ucapan alu-aluannya pula mengatakan bahawa walaupun dengan pandemik wabak COVID-19 pada masa ini, ia bukan sesuatu halangan untuk mengimarahkan bulan Ramadan yang mana beberapa aktiviti telah diungkayahkan melalui Program Ihya Ramadan dalam talian dan Ramadan Food Drive.
Turut hadir pada majlis itu ialah pemangku timbalan rektor, pegawai-pegawai utama dan beberapa orang mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.





























