Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    UNISSA, BILIF kukuh kerjasama

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Nov – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm), hari ini memperkukuhkan jaringan rakan strategik dengan memperbaharui penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) bersama Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei  (BILIF).

    Hadir menyaksikan majlis yang berlangsung di Auditorium UNISSA itu ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

    Penandatanganan MoU tersebut telah disempurnakan oleh Dekan FEKIm, Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani bagi mewakili UNISSA, manakala pihak BILIF diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif BILIF, Hajah Sufinah binti Haji Sahat.

    Dalam ucapan alu-aluan disampaikan oleh Dr Abdul Nasir antara lain menjelaskan, FEKIm UNISSA dan BILIF merupakan teman seperjuangan yang berjalan seiring memainkan peranan masing-masing dalam sama-sama melahirkan dan meningkatkan kemahiran sumber tenaga manusia.

    Ini bukan sahaja dalam industri kewangan malah di sektor awam dan swasta di mana peranan signifikan yang dimainkan oleh FEKIm UNISSA dan BILIF ini telah mendapat pengiktirafan dunia apabila kedua-duanya menerima Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) pada 2019 di Cape Town, Afrika Selatan dan pada 2021 di London, United Kingdom.

    Majlis penandatanganan memorandum persefahaman di antara FEKIm UNISSA dengan BILIF disaksikan oleh Dr Haji Norarfan.
    Rektor UNISSA ketika hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan.

    “Dengan adanya pembaharuan MoU antara FEKIm UNISSA dan BILIF ini, ia akan dapat memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama yang sedia ada,” jelasnya.

    Manakala Hajah Sufinah dalam ucapan balas beliau antara lain menjelaskan, kerjasama ini adalah penting dan sangat relevan kerana ia selaras dengan misi BILIF untuk membentuk pemimpin, pakar dan pemacu inovasi masa depan dalam bidang kewangan Islam dan kepimpinan, melalui program-program dan acara-acara bertaraf antarabangsa.

    Selain itu, misi UNISSA juga untuk melahirkan pemimpin yang soleh dan berkebolehan untuk menyumbang kepada pembangunan ummah melalui kecemerlangan akademik, penyelidikan dan khidmat masyarakat.

    Beliau seterusnya berharap dengan kerjasama berterusan ini, BILIF dan UNISSA dapat memaksimumkan peluang ini dengan kelebihan masing-masing agar saling melengkapi bagi mencapai misi kedua-dua institusi. Majlis tersebut diserikan lagi perkongsian Bicara Ilmuan yang disampaikan oleh Profesor FEKIm UNISSA, Dr Haji Razali bin Mat Zin, dan Pengurus Jabatan Pembelajaraan dan Perkembangan, BILIF, Dayang Rubby Sandra binti Mohammed.

    Antara yang menghadiri majlis berkenaan ialah pegawai-pegawai eksekutif dan utama serta mahasiswa dan mahasiswi UNISSA, pegawai-pegawai kanan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan pegawai-pegawai BILIF.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...