Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) terus berusaha menjalinkan kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan dan khidmat masyarakat bersama institusi pengajian tinggi luar negara.
Perkara itu terbukti dengan penandatanganan penyambungan memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang telah diadakan di Kampus UNISSA cawangan Sinaut, hari ini.
Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Rektor, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal manakala USIM pula diwakili oleh Naib Canselor, Prof Dato Ts Dr Sharifudin Md Shaarani.
Sebelum upacara penandatanganan, rombongan USIM terlebih dulu mendengar taklimat ringkas yang disampaikan oleh Dr Haji Norarfan tentang sejarah dan perkembangan UNISSA serta program-program yang ditawarkan sejak penubuhannya pada 2007.
Naib Canselor USIM pula dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada pihak UNISSA atas kesudian dalam memberikan sokongan untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang akademik, penyelidikan, pertukaran pelajar dan pelbagai aktiviti antara kedua-dua buah universiti khususnya menerusi kerjasama yang terjalin dalam konsortium i-IQRA.
Penyambungan MoU itu merupakan platform ke arah perancangan-perancangan kolaborasi seterusnya yang akan dirancang demi manfaat bersama.
Rombongan USIM juga dibawa melawat ke makmal saintifik Ibnu Sina UNISSA yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi tujuan pembelajaran dan kajian khususnya dalam bidang sains halal dan pertanian.
