UNISSA di Ekspo Pendidikan Tinggi 2020

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Universiti Sultan Sharif Ali (UNISSA) juga akan menyertai Ekspo Pendidikan Tinggi 2020 yang bakal bermula esok di Dewan BRIDEX, Jerudong, di mana mereka akan mempromosikan program-program pengajian ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah serta diploma.

Orang ramai boleh mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai program-program yang ditawarkan UNISSA semasa ekspo berkenaan yang menyediakan peluang untuk bersemuka dan berbincang dengan para tenaga akademik mengenai peluang penyelidikan mengenai pelbagai topik.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, acara tahunan anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta itu merupakan platform kepada bakal-bakal pelajar untuk meneruskan perjalanan akademik mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Dengan adanya peluang berkenaan bakal-bakal pelajar akan dapat menerokai program-program akademik yang ditawarkan oleh UNISSA melalui konsultansi bersama para pensyarah akademik dari beberapa fakulti dan pusat-pusat di UNISSA yang menawarkan pelbagai program.

Tawaran berkenaan secara tidak langsung menarik perhatian pemohon pelajar antarabangsa untuk mengikuti pengajian di UNISSA yang mempunyai kualiti setanding dengan universiti luar negara.

Faktor keselamatan di Negara Brunei Darussalam dan pembiayaan sara hidup yang rendah di sini juga menjadi salah satu faktor yang menarik minat para pelajar antarabangsa untuk belajar di UNISSA.