Gambar serahan UNISSA
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Dalam usaha menggalakkan penggunaan perpustakaan yang lebih konsisten, Perpustakaan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan Hari Penghargaan Perpustakaan UNISSA, petang kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, Hari Penghargaan Perpustakaan ini adalah sebagai inisiatif untuk memberikan penghargaan kepada pelajar dan tenaga akademik yang banyak mengambil manfaat dengan kemudahan perpustakaan yang disediakan di samping menjadi contoh teladan serta galakan kepada warga UNISSA yang lain.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal yang turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pensyarah dan pelajar yang bergiat aktif dalam penggunaan perpustakaan.
Antara pengisian hari penghargaan tersebut adalah jerayawara Reciprocal Borrowing Scheme (RBS) yang mempamerkan 12 buah perpustakaan institusi pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan bagi kategori Best Patron tahun 2019 iaitu Best Academician Patron dan Best Student Patron (pengguna terbaik kalangan staf akademik dan pelajar), Best Social Media Supporter tahun 2019, penyampaian sijil penghargaan kepada pewakaf buku Perpustakaan UNISSA, penyampaian sijil kepada peserta Kelas Maklumat Literasi Perpustakaan UNISSA dan penyampaian hadiah kepada pemenang Kuiz Jerayawara RBS.
Untuk memeriahkan lagi hari penghargaan tersebut, jualan buku terbitan UNISSA dan jualan barangan dagangan UNISSA turut diadakan.
Hari penghargaan tersebut juga bertujuan untuk menjadi satu tarikan supaya lebih ramai pelajar dan tenaga akademik datang ke Perpustakaan UNISSA dan secara tidak langsung mempromosikan koleksi dan perkhidmatan perpustakaan.
