Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    UNISSA, Huawei kerjasama dalam bidang ICT

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Huawei Technologies (B) Sdn Bhd baru-baru ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menggalakkan kerjasama dan inovasi bagi aktiviti akademik universiti dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

    Majlis penandatanganan diadakan di Pejabat Huawei Technologies (B) Sdn Bhd dan dihadiri oleh wakil dari UNISSA dan Huawei.

    Di bawah MoU itu, UNISSA dan Huawei akan bekerjasama dalam projek penyelidikan bersama, seminar, bengkel dan aktiviti akademik lain.

    Perkongsian itu juga akan memperkasakan pelajar UNISSA dengan pengalaman praktikal, latihan amali dan inisiatif pembangunan kerjaya dengan kerjasama Huawei.

    Ini merangkumi sokongan Huawei bagi Wawasan Brunei 2035, memainkan peranannya untuk terus memupuk bakat muda yang mahir, adaptif dan inovatif dalam ruang telekomunikasi dan ICT.

    Berucap pada majlis itu, Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal berkata, “Kami gembira dapat bekerjasama dengan Huawei, sebuah syarikat teknologi global terkemuka dengan rekod prestasi yang terbukti dalam inovasi dan kecemerlangan, dan kami menantikan peluang bagi pelajar untuk melibatkan diri dalam pengalaman praktikal dan inisiatif pembangunan kerjaya.

    “Saya percaya bahawa perkongsian ini akan menjadi batu loncatan ke arah kerjasama selanjutnya antara universiti kami dan Huawei Technologies. Saya teruja untuk menyaksikan hasil usaha bersama kami pada tahun-tahun akan datang,” tambahnya.

    Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies (B) Sdn Bhd, Zhang Jianwei pula berkata “Perkongsian ini akan membolehkan kami memanfaatkan kepakaran dan sumber kami dalam teknologi ICT untuk mempertingkatkan program akademik dan kurikulum UNISSA, sambil memupuk bakat generasi akan datang dalam ruang ICT dan telekomunikasi untuk masa depan yang mengutamakan digital.”

    MoU antara UNISSA dan Huawei itu pada mulanya memfokuskan kepada Fakulti Teknologi Islam di UNISSA, dan kedua-dua pihak komited untuk bekerjasama rapat untuk mempromosikan kecemerlangan akademik dan inovasi.

    Perkongsian itu melibatkan inisiatif berkaitan pembangunan bakat dan latihan kemahiran untuk pelajar dalam bidang teknologi dan ICT, seperti yang dibuktikan oleh program Seeds for the Future Huawei. Selain itu, siri ceramah bulanan anjuran Fakulti Teknologi Islam dan Huawei di UNISSA merupakan kekuatan ketara kerjasama berkenaan.

    Dekan Fakulti Teknologi Islam UNISSA, Dr Hajah Tiawa yang hadir sebagai saksi turut menekankan kepentingan kerjasama dan perkongsian antara industri dan organisasi.

    Dr Haji Norarfan dan Zhang Jianwei bergambar ramai selepas majlis penandatanganan di Pejabat Huawei Technologies (B) Sdn Bhd baru-baru ini. – Gambar serahan UNISSA
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...