UNISSA hulurkan sumbangan anak-anak yatim

Oleh Zaki Kasharan
Gambar serahan UNISSA

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT) meneruskan usaha dalam mengimarahkan lagi bulan suci Ramadan dengan mengadakan program Infaq Ramadhan for Orphans pada 18 hingga 19 Mei lalu.

Program yang diadakan selama dua hari itu telah berjaya mengumpulkan sumbangan berbentuk kewangan dan barang-barang keperluan asasi untuk didermakan kepada seramai 31 orang anak-anak yatim yang terdiri daripada 21 buah keluarga di Daerah Brunei dan Muara.

Hadir bagi menyempurnakan penyerahan sumbangan ialah Pengarah PPHT, Profesor Madya Dr Nurdeng Deuraseh dan Timbalan Pengarah PPHT, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim. Tujuan program ini diadakan adalah untuk menggalakkan orang ramai khususnya warga UNISSA untuk sama-sama menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim di samping untuk meraih keberkatan di bulan Ramadan. Sumbangan tersebut diharap akan dapat membantu meringankan beban dan menceriakan kesejahteraan anak-anak yatim berkenaan di samping berkongsi kebahagiaan dalam menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah para pensyarah dan pegawai-pegawai PPHT.

Profesor Madya Dr Nurdeng Deuraseh semasa menyerahkan sumbangan kepada anak yatim.
Pengiran Dr Hajah Norkhairiah ketika menyerahkan sumbangan kepada anak-anak yatim.