UNISSA kekal pembelajaran dalam talian

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Berikutan perkembangan penularan COVID-19 di negara ini, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) memaklumkan bahawa sesi pengajian bermula 30 Mac depan akan diteruskan secara dalam talian sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

UNISSA dalam kenyataannya menekankan, bagi memastikan kesihatan dan keselamatan para pelajar terjaga serta terhindar daripada sebarang kemungkinan jangkitan, mereka dikehendaki untuk terus berada di rumah dan mengikuti pembelajaran secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) dan apa jua kaedah teknologi pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian.

Pihak UNISSA juga telah mengaktifkan pelan kelangsungan perniagaan (BCP) untuk menjaga kesejahteraan warga universiti dengan memberikan kelonggaran bagi warga yang termasuk dalam kategori vulnerable sepertimana yang telah dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan termasuk mereka yang sedang mengandung, untuk bertugas dari kediaman masing-
masing (WFH).

Pelaksanaan kaedah WFH juga diselaraskan dengan kaedah flexible working arrangements bagi semua warga perkhidmatan awam seperti yang dinyatakan dalam Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri bilangan 06/2020.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi Talian Hotline COVID-19 UNISSA, 8787996.