Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) terus mengekalkan prestasi kecemerlangannya apabila berjaya meraih kedudukan 201-300 teratas untuk dua tahun berturut-turut dalam World University Rankings for Innovation (WURI).
Sistem ranking itu dianjurkan oleh Institut Dasar dan Strategi Daya Saing Kebangsaan (IPSNC), Korea Selatan dengan kerjasama empat buah organisasi antarabangsa, iaitu Hanseatic League of Universities (HLU); The Institute for Industrial Policy Studies (IPS); The United Nations Institute for Training and Research (UNITAR); dan Tailor Institute, Franklin University Switzerland (FUS).
Mengikut laporan yang dikeluarkan, sebanyak 1,189 buah program inovatif dari 423 buah universiti dari seluruh dunia telah menyertai edisi keempat penarafan tersebut. Ia dinilai berdasarkan tiga kriteria utama iaitu inovasi, kebolehlaksanaan dan impak.
Majoriti program yang menyertai WURI pada tahun ini berhubung kait dengan isu pandemik COVID-19, kesihatan mental, kelestarian dan bencana alam sekitar.
Penarafan itu menunjukkan bahawa sebagai sebuah institusi pengajian tinggi baharu, UNISSA mampu menyediakan program yang inovatif dan berdaya saing, khususnya di peringkat antarabangsa. Penarafan tersebut turut disertai oleh universiti-universiti elit seperti Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Universiti Harvard dan Universiti Oxford.
Pencapaian tersebut diharapkan dapat menjadi pencetus semangat bagi warga UNISSA dalam terus komited memainkan peranannya memberi impak yang positif dalam pembangunan ummah melalui kecemerlangan akademik, penyelidikan dan khidmat masyarakat.