UNISSA kekalkan kedudukan sebagai peneraju GIFA

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) mencatat satu lagi sejarah pencapaian besar melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) dan Negara Brunei Darussalam apabila untuk kali kedua berturut-turut mengungguli Anugerah Kewangan Islam Global 2020 (GIFA 2020) bagi Kategori Anugerah Kepimpinan Pasaran GIFA 2020 (Pengajian Perbankan dan Kewangan Islam), mendahului tiga calon institusi lain di peringkat global, kelmarin.

Menurut kenyatan dari UNISSA, di sini, hari ini, penyampaian anugerah tersebut berlangsung kelmarin dalam acara Anugerah GIFA ke-10 di Hotel Marriott, Islamabad, Republik Islam Pakistan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada acara tersebut ialah Presiden Republik Islam Pakistan, Tuan Yang Terutama Dr Arif ur-Rahman Alvi.

Memandangkan situasi global yang masih berhadapan dengan ancaman penularan pandemik COVID-19, UNISSA mengambil keputusan untuk tidak menghadiri majlis penganugerahan tersebut secara fizikal yang mana majlis penyampaian anugerah telah disiarkan secara langsung melalui platform media sosial seperti Facebook, YouTube, dan laman sesawang GIFA.

Dekan FEKIm UNISSA, Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani menerusi mesej video GIFA 2020 yang ditayangkan secara virtual berharap dengan pencapaian cemerlang anugerah berprestij GIFA sebanyak dua kali berturut-turut itu akan memberikan dorongan dan semangat yang kuat kepada seluruh tenaga akademik FEKIm UNISSA untuk terus bersikap lebih dinamik dan inovatif.

Menurut kenyataan itu lagi, GIFA adalah salah satu anugerah paling berprestij dan dihormati dalam dunia perbankan dan kewangan Islam global.

Anugerah itu diberikan kepada kerajaan, institusi, dan individu yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam menyumbang kepada kemapanan bidang perbankan dan kewangan Islam sebagai sebuah sistem yang berdaya maju di arena global.