Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    UNISSA, KHEU jalin kerjasama

    Oleh Nurdiyanah R.

    TUTONG, 2 FEB – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menerusi Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) di bawah Jabatan Hal Ehwal Syariah, hari ini, menjalinkan kerjasama dengan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU).

    MoU berkenaan bermatlamat untuk terus melahirkan generasi yang berilmu dan berkemahiran dalam bidang sains halal berlandaskan prinsip-prinsip Islam sekali gus menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan industri halal tempatan.

    Majlis penandatanganan diadakan di Bilik Kuliah 1, Tingkat 2, Bangunan Fakulti Pertanian, Kampus UNISSA, Sinaut, Daerah Tutong.

    MoU ditandatangani oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim dan Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Syariah, KHEU, Haji Suhaimi bin Haji Gemok, dengan disaksikan oleh Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

    Penandatanganan MoU berkenaan adalah sebagai rangka kerjasama dan kolaborasi dua hala dalam perkongsian ilmu, penyelidikan dan penerbitan, bengkel dan kursus serta penempatan kerja khususnya dalam bidang halal semata-mata bagi memperluaskan ilmu ke arah pemantapan dan pemerkasaan bidang halal di Negara Brunei Darussalam.

    Pengiran Dr Hajah Norkhairiah dan Haji Suhaimi telah mewakili penandatanganan MoU bagi Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA dan Jabatan Hal Ehwal Syariah, KHEU dengan disaksikan oleh Haji Mohammad Rosli dan Dr Haji Norarfan.
    Pengiran Dr Hajah Norkhairiah; dan Haji Suhaimi telah mewakili penandatanganan MoU bagi Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA dan Jabatan Hal Ehwal Syariah, KHEU dengan disaksikan oleh Setiausaha Tetap, KHEU, Haji Mohammad Rosli; dan Rektor, UNISSA, Dr Haji Norarfan.
    Hadir semasa berlangsungnya Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan di Bangunan Fakulti Pertanian, Kampus UNISSA, Sinaut, Daerah Tutong itu ialah Setiausaha Tetap, KHEU, Haji Mohammad Rosli; dan Rektor, UNISSA, Dr Haji Norarfan.

    Pengiran Dr Hajah Norkhairiah dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, penandatanganan MoU berkenaan merupakan satu potensi yang sangat besar untuk memperkembangkan dan melangkaui manfaat ekosistem upskilling dan reskilling di samping menghasilkan produk-produk pendidikan yang membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA.

    Manakala itu, Haji Suhaimi dalam ucapan balas beliau antara lain menjelaskan bahawa kerjasama berkenaan adalah relevan dan selaras dengan strategik KHEU sebagai salah satu inisiatif ke arah menjayakan dan menjamin persekitaran halal di Negara Brunei  Darussalam.

    Beliau seterusnya berhasrat dengan kerjasama itu, UNISSA dan KHEU dapat memaksimumkan peluang berkenaan dengan kelebihan masing-masing dalam menerokai perkembangan inovasi dalam sektor pembuatan dan perkilangan, kemajuan sains dan teknologi makanan, kajian-kajian akademik isu semasa halal dan fiqh muaasarah serta keyakinan terhadap pensijilan halal Brunei.

    Jabatan Hal Ehwal Syariah, KHEU merupakan salah sebuah organisasi yang sangat penting dan mempunyai peranan yang menjadi perhatian di negara ini khasnya dalam bidang pengurusan dan pelaksanaan serta penguatkuasaan undang-undang halal.

    Menerusi piagam pihak jabatan untuk mempromosikan pensijilan halal dan menyebarluaskan kesedaran tentang halal untuk kebaikan masyarakat, Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban juga menyatakan hasrat turut serta bergabung dan sama-sama menyumbang bagi memelihara dan mempertahankan integriti pensijilan halal Majlis Ugama Islam Brunei demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

    Majlis berkenaan turut diserikan lagi dengan pembentangan khas berjudul ‘Memperkasakan Produk dan Industri Makanan Halal berteraskan Maqasid Shariah’ yang disampaikan oleh Pensyarah Adjung, Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA, Profesor Madya To’ Puan Dr Nizaita binti Omar.

    Turut hadir semasa majlis berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Serudin bin Haji Timbang.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...