BANDAR SERI BEGAWAN, 17 April – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) mencatat satu lagi sejarah apabila seorang pendebatnya dinobatkan sebagai pendebat terbaik dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti-universiti Antarabangsa kali ke-4 yang berlangsung di Doha, Qatar, baru-baru ini.
Pencapaian UNISSA yang bersejarah ini dicapai apabila Dayang Gita Afriani Putri telah dinobatkan sebagai pendebat terbaik sepanjang pertandingan tersebut.
UNISSA dalam kenyataannya di sini berkata, pasukan mereka telah diwakili oleh empat orang pelajar iaitu Awang Mohammad Bahauddin bin Haji Abu Bakar, Awang Jupriadi bin Ramli, Dayang Siti Norafina binti Haji Yusof dan Dayang Gita Afriani Putri dan diiringi oleh pensyarah UNISSA, Dr Omari Abdallah Semasaba.
Pertandingan yang diadakan dua tahun sekali itu merupakan penyertaan kali kedua UNISSA bermula pada tahun 2015 dan pada tahun ini sebanyak 87 buah universiti dari 48 buah negara menyertai pertandingan itu.
Pertandingan Debat Bahasa Arab Antarabangsa kali ini dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu bagi penutur Bahasa Arab sebagai bahasa utama dan bagi bukan penutur Bahasa Arab.
