Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA lakar sejarah

    Oleh Imelda Groves HA

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) hari ini menempa sejarah dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) bersama Majelis Pendidikan Tinggi Penelitian dan Pengembangan (DIKTILITBANG), Pimpinan Pusat Muhammadiyah, Indonesia.

    Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, manakala bagi pihak Majelis DIKTILITBANG pula ditandatangani oleh Ketua Majelis, Profesor H. Licolin Arsyad selaku ketua rombongan.

    Majlis yang berlangsung di universiti berkenaan turut menyaksikan penandatanganan MoU bersama 30 buah institusi pengajian tinggi di bawah Majelis DIKTILITBANG.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Rektor UNISSA. Menurutnya, beliau amat menghargai kunjungan rombongan seramai 38 orang, yang terdiri daripada rektor, timbalan rektor dan para pegawai utama institusi.

    Kunjungan tersebut telah membuka lembaran sejarah UNISSA dan membuktikan UNISSA semakin diminati oleh institusi pengajian tinggi (IPT) di rantau Asia.

    Dr Haji Norarfan dan Profesor H. Licolin Arsyad semasa menandatangani MoU di UNISSA, kelmarin.

    Setakat ini, hubungan UNISSA dengan universiti-universiti di Indonesia adalah amat menyerlah terutama sekali penglibatan UNISSA dalam mengadakan beberapa program kerjasama seperti Konferensi Antarabangsa Islam Borneo (KAIB), Seminar Institut Pengajian Tinggi Islam (SeIPTI), Seminar Antarabangsa Islam di Alam Melayu (ICON-IMAD) dan sebagainya.

    Selain itu, UNISSA juga tidak ketinggalan dalam mengadakan program pertukaran pelajar, lawatan dan pengabdian kepada masyarakat, universiti berkenaan akan terus memberi sokongan dan kerjasama kepada universiti di rantau Asia atau antarabangsa yang ingin menjalin kerjasama strategik.

    UNISSA ketika ini telah pun memeterai penandatanganan MoU bersama 48 buah IPT di Indonesia.

    Tahun ini, seramai 40 orang warga Indonesia sedang mengikuti pengajian di UNISSA termasuklah pelajar negara itu yang mengambil Program Ijazah Doktor Falsafah dan Sarjana.

    Pada ucapan balas, Profesor H. Licolin Arsyad menjelaskan kunjungan mereka ke UNISSA adalah dalam rangka untuk bekerjasama bagi mengadakan seminar atau persidangan dan penyelidikan bersama.

    Menurutnya, kerjasama tersebut meliputi pengelolaan di peringkat antarabangsa memandangkan UNISSA memiliki jumlah mahasiswa dan tenaga akademik antarabangsa yang ramai.

    Beliau turut mengatakan bahawa tugas dan kewajiban para pemimpin dari 30 buah IPT, Pimpinan Pusat Muhammadiyah itu dapat merealisasikan aktiviti akademik sebagai kesinambungan daripada MoU dengan UNISSA.

    Hadir menyaksikan penandatangan MoU tersebut adalah Pemangku Timbalan Rektor UNISSA, Dr Arman bin Haji Asmad dan pegawai-pegawai utama UNISSA.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda