UNISSA laksana inisiatif Cashless Campus

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menempa sejarah tersendiri apabila menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Progresif Sdn Bhd (PCSB) untuk menjadi universiti ketiga di negara ini yang melaksanakan inisiatif ‘Cashless Campus’.

Hadir menyaksikan penandatanganan MoU tersebut di UNISSA, hari ini, ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku tetamu kehormat majlis.

Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal sementara itu bagi pihak BIBD telah diwakili oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar Khokhar dan Progresif diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar.

Dengan inisiatif berkenaan, para pelajar UNISSA boleh membuat transaksi tanpa pembayaran tunai di seluruh kampus pada masa yang sama juga menyediakan pengurusan perniagaan dalam kampus dengan jaminan keselamatan dan lebih cekap kerana mereka tidak lagi perlu menguruskan sejumlah besar wang tunai untuk urusan pembayaran.

Ia merupakan inisiatif berterusan daripada kerjasama yang telah dimeterai sebelumnya pada tahun lalu bersama Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Teknologi Brunei.

Menerusi MoU tersebut, para pelajar UNISSA berpeluang menggunakan pembayaran secara digital bagi BIBD QuickPay dan Progresif Pay yang dikuasakan oleh platform BIBD NEXGEN bagi membuat transaksi tanpa tunai di seluruh kampus UNISSA dan pada masa yang sama memberikan lebih jaminan keselamatan dan cekap kerana tidak perlu lagi menggunakan jumlah wang tunai yang banyak.

Mubashar Khokhar menjelaskan bahawa inisiatif itu merupakan permulaan bagi Revolusi Industri ke-4 yang mengubah cara kehidupan, bekerja dan yang berkait antara satu dengan yang lain di mana menerusi inisiatif berkenaan menunjukkan usaha berterusan mereka dalam mendukung Brunei ke arah ekonomi tanpa tunai dan digital sepenuhnya.

Sementara itu, Hajah Nurul Haniah menyatakan keterujaannya bekerjasama dengan institusi pendidikan di negara ini dalam usaha untuk menerajui dan mencipta peluang digital baharu yang dapat membantu para pelajar dan peniaga tempatan.

Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah menyaksikan penandatanganan MoU antara UNISSA, BIBD dan Progresif.