BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penyelidikan dan Penerbitan telah melancarkan Sudut Buku UNISSA di Mahad Islam Brunei, Tutong, baru-baru ini.
Dengan pelancaran sudut itu, UNISSA telah menyumbangkan sebanyak 197 judul buku yang merangkumi pelbagai tajuk dan disiplin ilmu termasuk pengajian Islam, undang-undang, ekonomi, budaya, tamadun, pembelajaran bahasa Arab dan lain-lain jurusan yang diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Arab, Melayu dan Inggeris.
Pada majlis pelancaran itu, sumbangan buku dan surat perjanjian Sudut Buku UNISSA telah diserahkan oleh Pemangku Pengarah, Pusat Penyelidikan dan Penerbitan UNISSA, Dr Ismail bin Abdullah kepada Pengetua Mahad Islam Brunei, Pengiran Haji Asmady bin Pengiran Haji Aliuddin.
Menurut kenyataan UNISSA, usaha tersebut merupakan inisiatif UNISSA bagi mengongsikan bahan terbitan UNISSA untuk simpanan dan rujukan perpustakaan sekolah-sekolah menengah Arab dan seterusnya membantu kegiatan intelektual di kalangan pelajar dan tenaga pengajar di sekolah-sekolah menengah Arab.
Selain itu, sudut tersebut merupakan antara usaha UNISSA untuk mempromosi dan menjadikan buku-buku terbitan UNISSA sebagai bahan rujukan peringkat menengah dan tinggi.
Di samping itu, ia juga diharapkan akan menjadi tempat memudahkan para pelajar dalam menambah baik mutu pembelajaran mereka, selain menjadi pendorong dalam memupuk sifat suka mengkaji dan membaca di kalangan para pelajar.
Kenyataan turut memaklumkan bahawa UNISSA juga memiliki Sudut Buku UNISSA di dua buah sekolah menengah Arab iaitu Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) dan Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) yang dilancarkan 30 Julai lalu.































