BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), baru-baru ini, telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah bagi Investment Challenge 2017 yang dijuarai oleh Pasukan UNISSA LANS.
Pasukan berkenaan memenangi hadiah utama berupa program penempatan kerja selama lima hari bersama Lion Global Investors Limited di Singapura, trofi dan hadiah-hadiah iringan.
Manakala itu, tempat kedua telah disandang oleh Pasukan UTB dengan memenangi program penempatan kerja selama tiga bulan di Baiduri Capital dan BIBD Securities, trofi dan hadiah-hadiah iringan. Tempat ketiga pula telah disandang oleh Pasukan UNISSA Year 3.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan AMBD, Awang Yusof bin Haji Abd Rahman.
AMBD dalam kenyataannya menjelaskan, pertandingan yang dianjurkan bersama oleh AMBD dan Brunei Darussalam Capital Market Association (BCMA) itu telah dilancarkan pada 25 Mei 2017 lalu dan dibukakan kepada mahasiswa-mahasiswi dari institusi-institusi pengajian tinggi Negara Brunei Darussalam.

Objektif utama pertandingan ini adalah untuk memupuk kesedaran mengenai pelaburan kewangan, memperkenalkan konsep asset allocation dan menjana minat terhadap pelaburan kewangan dan pasaran modal.
Tujuh kumpulan yang merangkumi empat pelajar bagi setiap pasukan telah menyertai pertandingan ini. Institusi-institusi pengajian yang turut serta adalah Universiti Teknologi Brunei (UTB), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej International Graduate Studies (IGS) dan Politeknik Brunei.
Pertandingan telah diadakan selama empat minggu bermula 26 Mei sehingga 23 Jun dan telah didahului dengan bengkel pengenalan pelaburan yang diadakan di premis UOB Asset Management (B) Sdn. Bhd.
Empat orang juri juga telah dilantik bagi pertandingan berkenaan untuk menilai prestasi setiap pasukan berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan termasuk kadar pulangan pelaburan, strategi portfolio diversification dan analisis strategi pelaburan secara qualitative.
Hadiah-hadiah telah ditaja oleh AMBD, Lion Global Investors Limited, UOB Asset Management, Baiduri Capital dan BIBD Securities.