Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan UNISSA
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) mengembang luaskan jaringan strategiknya apabila menandatangani empat memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Malaysia; Universitas Muhamadiyyah Puwarkerto (UMP), Indonesia; Jami’ah Al-Quran Al-Karem Wal’ulum Al-
Islmiyah, Yaman; dan Mitsubishi Corporation.
MoU itu telah dimeterai pada Majlis Penyampaian Pingat dan Hadiah Buku sempena Hafl Takharruj ke-12 bagi meraikan graduan-graduan UNISSA di Dewan Serambi Suloh, Tarindak D’Seni, hari ini.
Hadir menyaksikan penandatanganan itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku tetamu kehormat yang menyatakan dengan adanya penandatanganan itu, jalinan strategik dalam bidang penyelidikan, penerbitan, aktiviti kemasyarakatan, mobiliti pelajar dan staf akademik, pertukaran kepakaran, pengendalian seminar, persidangan dan sebagainya akan dapat direalisasikan dan dikembang giatkan.
Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Rektor, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, manakala itu universiti dan institusi lain diwakili oleh pemimpin masing-masing.
UNISSA menjelaskan, MoU bersama Mitsubishi Corporation itu adalah untuk pembiayaan biasiswa bagi lima pelajar sarjana muda cemerlang UNISSA.
Biasiswa bernilai $10,000 itu akan diberikan kepada pelajar cemerlang berkenaan untuk membantu menampung kos yuran pengajian mereka.
MoU itu adalah salah satu usaha ke arah mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan penyelidikan demi memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat di negara ini serta di peringkat antarabangsa.
Penandatanganan MoU tersebut juga selaras dengan usaha UNISSA untuk memperkembangkan jaringan strategik dengan dunia luar dan meningkatkan lagi reputasi UNISSA dalam bidang pengajian Islam, penyelidikan, keusahawanan dan pengurusan serta memantapkan lagi kedudukannya dalam arena pendidikan dalam dunia global.