Oleh Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Sept – Dalam usaha melebarkan jaringan strategik untuk saling mendapat manfaat bersama institusi lain,Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mempergiatkan lagi jaringan kerjasama strategik dengan universiti luar negara.
Bersempena dengan Majlis Hafl Al-Takharruj ke-8 ini, sebanyak tujuh memorandum persefahaman (MoU) telah termeterai pada Majlis Malam Graduan yang berlangsung malam tadi di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun bagi meraikan para graduan yang cemerlang dalam program atau kursus yang diikuti.
Penandatanganan MoU tersebut telah disaksikan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Sulaiman selaku tetamu kehormat majlis.
Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal manakala mewakili institusi terlibat ialah pemimpin-pemimpin institusi atau universiti berkenaan.
Bagi pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), telah ditandatangani oleh Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Musa Ahmad, sementara itu bagi pihak Islamic University, Kushtia, Bangladesh, telah ditandatangani oleh naib canselor universiti berkenaan, Profesor Dr Mohd Harun Ur-Rashid Askari manakala bagi pihak Shendi University, Sudan pula ditandatangani oleh Profesor Tagelsir Hassan Mohammed Ahmed selaku naib canselor universiti berkenaan.
Bagi pihak Dili University, Timor Leste, pula ditandatangani rektor universiti berkenaan, Jose Agostino Da Costa Belo Pereira, sementara Universitas Islam Negeri Sultan Thaha Saifuddin Jambi, Indonesia pula diwakili oleh Dekan Fakultas Adab dan Humaniora, Profesor Dr Maisah, manakala Sekolah Tinggi Agama Islam Hasan Jufri Bawean, Indonesia pula ditandatangani oleh Pipin Siutra dan Sekolah Tinggi Agama Islam Darunnajah, Indonesia ditandatangani oleh Drs H Aunur Rofiq.
Penandatanganan MoU berkenaan adalah selaras dengan usaha UNISSA untuk memperkenalkan tentang kewujudannya sebagai universiti Islam yang unggul di negara ini ke dunia luar dan sekali gus melonjakkan reputasi serta kedudukannya pada arena pendidikan dalam dunia global.
Seramai 46 orang pelajar pada majlis tersebut menerima pingat dan hadiah-hadiah buku universiti yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan.
Pada majlis tersebut, salah seorang graduan telah menerima pingat Pro-Canselor iaitu Awang Mohammad Adika Yusra bin Mohammad Yusof, Sarjana Muda Sains Dalam Kewangan Islam dan Dayang Nurul Amirah Afiqah binti Khairuddin, graduan Sarjana Muda Usuluddin (Tafsir & Hadis) menerima Pingat Rektor.
Pemangku Penolong Rektor UNISSA, Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, selaku pengerusi majlis dalam ucapannya pada majlis tersebut menasihatkan para graduan supaya sentiasa siap siaga menghadapi apa jua cabaran mendatang sekali gus memenuhi jangkaan kepimpinan negara dalam usaha mengejar keamanan, kemakmuran dan kemajuan.
Justeru, diharapkan langkah lulusan UNISSA tidak akan terhenti di sini, bahkan akan terus gigih berusaha tanpa berputus asa menimba ilmu, mempertingkatkan kemahiran dan pengalaman dalam pelbagai bidang, dan memperlebar jaringan sosial. Di samping itu, para graduan juga perlu menjadi qudwah hasanah dalam usaha menerapkan nilai-nilai murni untuk diteladani masyarakat sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang mafhumnya: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain,” jelas beliau.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pendidikan, pegawai-pegawai kanan serta perwakilan institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.