UNISSA, MSU-TCTO jalin kerjasama

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), kelmarin, telah menerima kunjungan daripada delegasi Mindanao State University, Tawi-Tawi College of Technology and Oceanography (MSU-TCTO), Republik Filipina.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, kunjungan diteruskan dengan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara UNISSA dengan MSU-TCTO yang telah berlangsung di Bilik Senat, UNISSA Gadong.

Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Rektor, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal manakala itu pihak MSU-TCTO diwakili oleh Canselor, Dr Mary Joyce Z Guinto-Sali.

Sebelum upacara penandatanganan MoU, Dr Haji Norarfan terlebih dulu mengalu-alukan kedatangan delegasi dan berharap bahawa dengan termeterainya penandatanganan MoU itu akan dapat menjalinkan lagi hubungan kerjasama yang boleh diterokai dalam bidang-bidang yang tertentu.

Setakat ini UNISSA telah mempunyai hubungan kerjasama melalui MoU dengan tiga buah universiti Republik Filipina dan telah melaksanakan beberapa aktiviti peringkat antarabangsa.

Canselor MSU-TCTO dalam ucap balasnya pula menyatakan terima kasih kepada UNISSA atas penerimaan sebagai rakan kongsi dalam bidang perkembangan ilmiah dan menjelaskan bahawa hubungan Brunei dengan Mindanao Tawi-Tawi telah lama wujud sejak zaman awal kesultanan Brunei yang menyebarkan dakwah Islam di Kepulauan Selatan Filipina.

Untuk menyambung semula hubungan kerjasama itu, tambah beliau, MSU-TCTO berhasrat untuk mengembangkan lagi konsep pengetahuan agama Islam dalam program yang bersesuaian dengan bantuan dan sokongan UNISSA yang telah dikenal pasti mempunyai kemahiran tersebut.

Melalui penandatanganan MoU berkenaan, pihak MSU-TCTO telah merancang untuk menghantar beberapa orang pelajar untuk mengikuti kursus jangka panjang atau pendek dalam program kemahiran yang melibatkan bidang Syariah, Bahasa Arab dan Penyelidikan Halal.

Hadir menyaksikan penandatangan MoU tersebut ialah timbalan rektor, penolong rektor UNISSA, beberapa orang pegawai utama UNISSA dan delegasi lima orang dari MSU-TCTO.

Dr Haji Norarfan dan Dr Mary Joyce Z Guinto-Sali bergambar ramai bersama pegawai-pegawai UNISSA dan delegasi MSU-TCTO semasa majlis penandatanganan MoU. – Gambar serahan UNISSA