UNISSA perkukuh hubungan strategik

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah membaharui jaringan rakan strategik serantau dengan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) bersama Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA), Malaysia.

Penandatanganan MoU tersebut telah diadakan semasa Majlis Perasmian Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke-13 (Muzakarah-13) yang berlangsung di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

MoU berkenaan dimeterai di hadapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku ahli Lembaga Pengarah Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD).

Menandatangani MoU bagi pihak UNISSA ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal manakala itu, ISRA diwakili oleh pengarah eksekutifnya, Profesor Dr Mohamad Akram Laldin.

Dengan termeterainya MoU berkenaan, pihak UNISSA akan dapat mempergiatkan program kerjasama strategik melalui penyelidikan isu-isu kewangan Islam.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika menyaksikan penandatanganan MoU antara UNISSA dan ISRA.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika meninjau salah satu petak pameran yang tersedia.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, penandatanganan MoU berkenaan juga adalah sebagai usaha UNISSA untuk memberigakan lagi kepada dunia luar tentang peranan universiti Islam yang unggul di negara ini dalam memperkembangkan bidang ilmu pengetahuan agama Islam selaras dengan dunia global.

Dalam hal ini juga, UNISSA akan berusaha berganding bahu dalam menonjolkan lagi program-program untuk mencapai hab kewangan Islam yang unggul selari dengan aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Kenyataan menjelaskan, ISRA ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia yang peranannya mempromosikan penyelidikan yang digunakan dalam bidang kewangan Islam dan Syariah.

Ia juga bertindak sebagai repositori pengetahuan untuk pandangan Syariah (fatwa) dan menjalankan kajian tentang isu kontemporari dalam industri kewangan Islam.

ISRA bertujuan untuk mempromosikan inovasi dan dinamik melalui penyelidikan perintis dan dialog intelektual yang ketat, dengan itu memperluaskan sempadan kewangan Islam.