BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah mengadakan Majlis Sambutan Tahun Baru Hijrah 1439 yang diadakan di Auditorium, UNISSA.
Matlamatnya adalah untuk memperingati tentang pengorbanan dan penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W bersama sahabat-sahabat Baginda di samping untuk menghayati dan menjiwai lagi perkara-perkara yang tersirat dalam peristiwa tersebut.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Penolong Rektor, Dr. Arman bin Haji Asmad, pegawai-pegawai utama, dekan-dekan, timbalan dekan, para pensyarah, kakitangan dan mahasiswa-mahasiswi UNISSA.
Acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan Surah Al-Fatihah dibacakan oleh Awang Abdul Mu’in bin Haji Abdul Hamid yang merupakan mahasiswa Tahun 1 Diploma Jenayah Undang-undang, diikuti dengan persembahan syarahan yang disampaikan oleh Dayang Siti Julaiha binti Puasa, mahasiswi Tahun 4 , Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang bertajuk “Apa ada dengan Hijrah?”.

Persembahan syarahan dengan tajuk “Hijrahnya Mus’ab bin Umair” juga telah disampaikan oleh Awang Muhammad Fuad bin Matahir, mahasiswa Tahun 2 Sarjana Muda Ekonomi dan Kewangan Islam.
Kedua pelajar ini adalah aktif dalam bidang pidato atau syarahan dan pernah menyertai pertandingan Aksi Asia 2016 di Indonesia.
Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian insentif kepada mahasiswa dan mahasiswi yang telah mengharumkan nama UNISSA di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Haji Mohammad Ali Taufiq bin Haji Abdul Rahman.