UNISSA sambut Aidiladha

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Untuk memuliakan dan meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan Majlis Ibadah Korban baru-baru ini bertempat di Dewan Auditorium, UNISSA.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Pemangku Rektor UNISSA, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, yang seterusnya menyempurnakan pengagihan daging-daging korban kepada para peserta korban.

Majlis turut dihadiri penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, tenaga akademik dan kakitangan UNISSA.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa, kemudian diikuti dengan ucapan alu-aluan dari Dekan Pelajar, Dr Supri bin Haji Sudin, selaku pengerusi majlis.

Untuk tahun ini, 28 orang peserta telah menyertai ibadah korban sunat dan empat ekor kerbau telah dikorbankan berdasarkan pendaftaran yang diterima.

Majlis tahunan ini dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UNISSA dengan dibantu oleh Majlis Perwakilan Pelajar UNISSA.

Majlis ini diadakan sebagai tanda memuliakan dan menyemarakkan Aidiladha di UNISSA, dan bagi sama-sama merebut peluang untuk melaksanakan ibadah korban dan sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan ukhwah di kalangan warga universiti dan masyarakat Brunei.

Pemangku Rektor UNISSA menyampaikan agihan daging korban kepada salah seorang penerima. – Gambar serahan UNISSA