UNISSA sambut ulang tahun ke-10

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-10 tahun dengan Majlis Kesyukuran yang berlangsung di Dewan Auditorium, UNISSA, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan diteruskan lagi dengan ucapan alu-aluan oleh Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal yang telah menyentuh mengenai beberapa perkembangan sepanjang satu dekad penubuhan UNISSA.

Menurutnya, UNISSA telah ditubuhkan pada 1 Januari 2007 atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena titah perutusan Awal Tahun Masihi 2007 dengan harapan yang murni iaitu untuk menjadikan UNISSA sebagai sebuah pusat ilmu Islam tulen yang melahirkan para ulama dan cendekiawan berwibawa dan mampu memenuhi aspirasi negara.

“Ke arah itu, UNISSA menetapkan visinya untuk menjadi sebuah universiti Islam tulen bertaraf antarabangsa yang progresif dan dinamik berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah.”

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa menyertai bacaan Surah Yasin beramai-ramai.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa menyertai bacaan Surah Yasin beramai-ramai.
Antara yang hadir pada majlis itu.
Antara yang hadir pada majlis itu.
Yang Berhormat Pehin semasa menyempurnakan Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan (Senior Career) kepada Dr. Siti Sara binti Haji Ahmad.
Yang Berhormat Pehin semasa menyempurnakan Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan (Senior Career) kepada Dr. Siti Sara binti Haji Ahmad.

Bermula dengan kemasukan pelajar seramai 107 pada tahun pertama penubuhannya, kini pelajar UNISSA mencecah keramaian 889 orang pelajar dalam pelbagai peringkat program pengajian sama ada ijazah sarjana muda mahupun peringkat ijazah pasca sarjana yang menyaksikan purata peningkatan kemasukan pelajar baru setiap tahun sebanyak 17 peratus.

Peningkatan ini, jelasnya, dijangka berterusan pada tahun-tahun akan datang dengan pengembangan program akademik yang lebih dinamik, relevan dan fleksibel yang akan ditawarkan UNISSA pada masa akan datang.

Jelas beliau, perkembangan ini dipacu lagi atas kesedaran yang tinggi dari kalangan para belia dewasa ini untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sejajar dengan Wawasan Brunei 2035.

Ketika ini, ujar beliau lagi, UNISSA menawarkan sebanyak 30 program akademik dalam pelbagai peringkat dan bidang pengajian dan menjelang 2025 akan lebih banyak lagi program akademik akan ditawarkan.

“Insya-Allah, UNISSA terus beriltizam untuk meningkatkan kualiti akademiknya dan bersedia menawarkan program-program akademik merentasi disiplin dalam usaha membantu kerajaan melahirkan generasi beragama dan progresif dengan menyediakan program akademik yang lebih fleksibel, dinamik dan marketable berasaskan Al-Quran dan Al-Sunnah bagi memenuhi keperluan dan pembangunan negara,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, sebagaimana kemajuan yang diraih dalam aspek akademik, UNISSA juga sangat komited untuk mengembangkan fakulti dan pusat kecemerlangan akademiknya sesuai dengan keperluan dan tuntutan semasa.

UNISSA bermula hanya dengan empat buah fakulti dan tiga buah pusat pada tahun 2007, kini UNISSA mempunyai lima buah fakulti dan perkembangan UNISSA juga membawa kepada penubuhan tujuh unit pengurusan akademik dan pentadbiran.

“Sejajar dengan tuntutan dan keperluan semasa, UNISSA beriltizam untuk mengorak langkah mengembangkan lagi fakulti dan pusat kecemerlangan akademiknya pada masa akan datang.

“Seperkara yang menarik dalam perkembangan UNISSA ialah dengan wujudnya sebuah pusat kecemerlangan penyelidikannya yang unggul dan relevan dengan keperluan semasa negara iaitu Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’i (PPMS),” tambah beliau.

Dari segi keramaian graduan yang telah dihasilkan sehingga kini, beliau berkata, UNISSA telah melahirkan seramai 908 graduan yang mana sebahagian mereka telah berkhidmat di sektor kerajaan dan swasta, manakala selebihnya sedang melanjutkan pengajian dan mencari pekerjaan.

Beliau juga menjelaskan bahawa UNISSA juga terus berusaha untuk memainkan peranannya dan mengukuhkan hubungannya dengan universiti-universiti lain di peringkat serantau dan antarabangsa.

Sejak kehadiran UNISSA dalam dunia pengajian tinggi Islam di rantau ini, UNISSA mula menjadi pilihan alternatif bagi serantau dan antarabangsa untuk melanjutkan pengajian Islam mereka ke peringkat lebih tinggi, di mana 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar UNISSA terdiri daripada pelajar antarabangsa.

Sehingga kini, tambahnya, UNISSA telah menjadi pusat pengajian bagi 162 orang pelajar antarabangsa dari 32 buah negara yang mengikuti pengajian mereka dalam pelbagai peringkat.

Majlis kesyukuran berkenaan kemudian turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada 10 orang staf cemerlang UNISSA yang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.