BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Dua pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengikuti Kejohanan Karate Antarabangsa Universitas Sebelas Maret Cup (KAUNSC) yang diadakan di Solo, Surakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Kejohonan tersebut dianjurkan oleh Universitas Sebelas Maret (UNS), Indonesia dengan kerjasama Persatuan Karate Indonesia (PKI). Ia merupakan penganjuran kali ke-12 yang diadakan pada tahun ini.
Kejohanan tersebut berlangsung selama tiga hari bermula pada 17 Mac hingga 19 Mac lalu. Pasukan Karate UNISSA diwakili oleh Abdul Mujib bin Awang Sh’minan, mahasiswa Tahun 3, Fakulti Usuluddin dan Nur Faridatul Syakirah binti Roslan, mahasiswi Tahun 3, Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT).
Kategori yang diikuti oleh wakil pasukan Karate UNISSA ialah Kumite Perseorangan Lelaki Bawah 55 kilogram dan Kumite Perseorangan Perempuan Atas 68 kilogram.
Sebanyak 43 buah pasukan yang terdiri daripada 250 orang atlet telah mengikuti pertandingan tersebut.
Turut serta bagi mengiringi atlet UNISSA di kejohonan tersebut ialah pensyarah UNISSA, Dr Mohammad Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof, yang juga merupakan pengurus dan jurulatih bagi pasukan Karate UNISSA.
