Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Rombongan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Universiti-universiti Islam Asia (AIUA) ke-12 yang diadakan di Universitas Islam Negeri Antasari Banjarmasin, Indonesia.
Rombongan terdiri daripada Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Pemangku Penolong Rektor (Penyelidikan, Antarabangsa & Perkhidmatan), Dr Haji Hambali bin Haji Jaili.
Menurut kenyataan dikeluarkan UNISSA, seramai 33 kepimpinan universiti dari Indonesia, Malaysia, Brunei Darussalam dan Thailand telah menghadiri mesyuarat tersebut bagi membincangkan agenda yang berhubung kait dengan perancangan, kewangan, penyelidikan, penerbitan dan aktiviti yang telah dijalankan sepanjang 2022 dan perancangan bagi 2023 pertubuhan tersebut.
Ia juga diselajurkan dengan Konferensi Antarabangsa The Syafii School in South East Asia dengan tema Adaptation, Transformation and Future Challenges yang mana UNISSA diwakili oleh Ketua Pejabat Alumni UNISSA, Dr Hafini bin Mahmud selaku salah seorang pembentang utama.
AIUA telah ditubuhkan pada 2015 dan berperanan aktif sebagai platform bagi institusi pengajian tinggi Islam di rantau Asia berinteraksi dan berkolaborasi dalam mempromosi pelbagai kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan, penerbitan, seminar, bengkel dan pertukaran tenaga akademik serta pelajar.
UNISSA telah menjadi ahli AUAP sejak mula penubuhannya yang mana rektor UNISSA telah dipilih sebagai naib presiden pertubuhan berkenaan bagi sesi 2022-2024.