UNISSA tawar Program Tadabbur Al-Quran

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PKPSH) telah menawarkan Program Tadabbur Al-Quran sesi bulan Oktober 2021 kepada orang ramai.

Program Tadabbur Al-Quran sesi Oktober itu diadakan pada setiap hari Ahad, bermula jam 8:30 pagi hingga 10:00 pagi selama enam minggu secara dalam talian melalui aplikasi Zoom.

Pada sesi Oktober ini, satu modul telah dibukakan untuk peserta iaitu Modul Surah Al-Mulk dan Al-Sajdah dan seramai 57 orang peserta telah menyertai program tersebut yang terdiri daripada orang-orang persendirian, pelajar, pegawai dan kakitangan kementerian. Tenaga pengajar bagi program itu ialah Pensyarah di Fakulti Usuluddin, Dr Haji Muhammad Zakir Husain.

Tujuan Program Tadabbur Al-Quran itu diadakan khusus untuk membimbing masyarakat awam dalam memberikan kefahaman dan penghayatan kepada Al-Quran melalui rujukan dan kitab-kitab tafsir yang muktabar.

Ianya selaras dengan konsep Negara Zikir dan rakyat celik Al-Quran sepertimana yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.