Saturday, February 15, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNISSA terima anugerah QS Stars

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menerima penarafan lima bintang (cemerlang) dan penghargaan berdasarkan sistem penilaian Quacquarelli Symonds (QS) Stars Ratings pada Majlis Penganugerahan QS Stars di Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, hadir bagi menerima penganugerahan tersebut ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

    Turut hadir ialah Pengarah Pejabat Perancangan dan Pembangunan Strategik, Dr Muhamad Alif bin Haji Sismat dan Ketua Unit Pengiktirafan dan Pengkorporatan, Dr Zulamali bin Begawan Pehin Khatib Haji Matassan.

    Dalam penyertaan buat julung kalinya, UNISSA telah berjaya mendapat lima bintang dalam lima daripada lapan kategori iaitu Pengajaran, Kebolehpasaran, Pengantarabangsaan, Pembangunan Akademik dan Prasarana. Manakala itu, dalam kategori Tanggungjawab Sosial dan Keterangkuman, UNISSA mendapat empat bintang.

    Rektor UNISSA menyatakan, sebagai sebuah universiti berteraskan Islam yang masih muda, penarafan tersebut merupakan satu pencapaian yang membanggakan kerana ia telah meletakkan UNISSA setaraf dengan universiti terkemuka antarabangsa yang turut mendapat penarafan lima bintang seperti Universiti Putra Malaysia, University of Jordan, King Saud University, Coventry University dan Lancaster University.

    Menurutnya lagi, penarafan tiga tahun itu juga diharapkan menjadi satu dorongan bagi seluruh warga UNISSA untuk terus berkembang maju dan meningkatkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang di arena antarabangsa, khususnya dalam memacu pembangunan ummah sejagat.

    Anugerah QS Stars tersebut merupakan sebahagian daripada QS Higher Ed Summit: Asia Pacific 2023 anjuran QS yang diadakan di Pusat Persidangan Kuala Lumpur, Malaysia, selama tiga hari pada 7 hingga 9 November.

    Sidang kemuncak dengan tema Creating the Right Outcomes: Universities and the Future of Work in the Asia Pacific telah membincangkan pelbagai isu semasa dan amalan terbaik daripada pelbagai institusi pengajian tinggi dan jaringan industri.

    Dr Haji Norarfan menerima anugerah QS Stars semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda