UNISSA terima kunjungan

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 April – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini, menerima kunjungan daripada Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Sarawak, Datuk Dr Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi selaku Menteri Muda bertanggungjawab Hal Ehwal Islam Sarawak dan rombongan.

Hadir bagi mengalu-alukan kedatangan Datuk Dr Haji Abdul Rahman ialah Pemangku Rektor UNISSA, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.

Semasa perjumpaan di bilik senat, pemangku rektor UNISSA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Dr Haji Abdul Rahman dan rombongan kerana sudi mengunjungi UNISSA sebagai salah satu destinasi lawatan rasmi rombongan.

UNISSA mempunyai hubungan rapat dan erat dengan beberapa buah institusi di Sarawak, khususnya Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak.

Melalui kerjasama erat UiTM Sarawak dengan UNISSA dan lima buah lagi institusi pengajian tinggi di Borneo, termasuk UiTM Sabah; KUPU SB, Brunei Darussalam; Universitas Mulawarman, Samarinda; Universitas Lambung Mangkurat, Banjarmasin dan Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Pontianak, Indonesia, telah menganjurkan Konferensi Antarabangsa Islam Borneo (KAIB) secara bergilir pada setiap tahun.

Dr Haji Mohammed Hussain bersama Datuk Dr Haji Abdul Rahman ketika mengadakan perbincangan semasa kunjungan tersebut.

KUPU SB dan UNISSA telah menjadi tuan rumah bagi penganjuran KAIB pada 2012 dan 2015. Pada tahun ini, Brunei akan menjadi tuan rumah KAIB XII dan akan diadakan di KUPU SB pada September depan.

UNISSA mengharapkan dan mengalu-alukan usaha-usaha masa depan dalam memperkukuh lagi hubungan antara Brunei Darussalam dan Sarawak, khususnya melalui UNISSA. Lebih-lebih lagi dengan adanya kampus kekal UNISSA di tapak seluas 310 hektar (766 ekar) di Daerah Temburong nanti, akan dapat menampung lebih ramai lagi pelajar luar termasuk dari Negeri Sarawak.

Semasa kunjungan itu, Datuk Dr Haji Abdul Rahman dan rombongan mendengarkan taklimat berhubung program-program yang ditawarkan UNISSA yang disampaikan oleh Penolong Rektor UNISSA, Dr Arman bin Haji Asmad.

Taklimat berkenaan menarik perhatian Datuk Dr Haji Abdul Rahman dan seterusnya membuka peluang kepada rombongan untuk mengajukan beberapa persoalan khususnya prosedur mengikuti program yang ditawarkan UNISSA.

Menteri Muda Sarawak seterusnya menyampaikan ucapan balas dengan ucapan terima kasih dan tahniah atas perkembangan kemajuan yang dicapai oleh UNISSA sehingga nama UNISSA sering didengar sebagai sebuah universiti Islam yang hebat.

Beliau berharap akan adanya usaha sama khususnya dalam bidang perkongsian pendidikan dan dakwah Islam yang boleh membantu generasi belia Sarawak untuk mengikuti pengajian di UNISSA. Beliau menyatakan perasaan teruja dengan perkembangan UNISSA dan berharap pelajar-pelajar Sarawak akan dapat melanjutkan pengajian di UNISSA.

Turut hadir pada kunjungan tersebut ialah Mufti Sarawak, Sahibus Samahah Datu Haji Kipli; Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datu Abang Haji Mohd Shibli bin Haji Abang Mohd Nailie, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Yang Amat Arif Haji Awang Suhaili bin Ledi dan pegawai-pegawai utama UNISSA.

Perjumpaan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.