BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), kelmarin, telah menerima kunjungan delegasi dari Fakultas Ekonomi dan Bisnis, Universiti Islam Bandung (UNISBA), Indonesia.
Kedatangan rombongan seramai 25 orang terdiri daripada tujuh pensyarah dan 18 pelajar yang diketuai oleh Dekan Fakultas Ekonomi dan Bisnis, UNISBA, Dr. Atih R Dariah itu telah disambut oleh Dekan FEKIm, Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, tenaga akademik fakulti serta pelajar di Kampus UNISSA.
Lawatan tersebut bertujuan untuk mengadakan kolokium mengenai ekonomi dan kewangan Islam bersama pensyarah FEKIm UNISSA.
Dalam lawatan itu, satu kertas kerja penyelidikan bertajuk The Role of Microfinance to Eliminate Poverty by Financing Small and Medium Enterprises juga telah dibentangkan oleh pensyarah UNISBA, Dr. Tasya Aspiranti.


Selain kolokium, kedua-dua pihak juga telah mengambil kesempatan membincangkan peluang-peluang kerjasama yang boleh dilakukan pada masa akan dating.
Di bilik yang berasingan pula, mahasiswa dan mahasiswi dari kedua-dua buah fakulti telah mengadakan Forum Pertandingan Karya Ilmiah dengan membentangkan kertas kajian masing-masing yang membawa tema ‘Ekonomi dan Kewangan Islam’.
Lawatan rombongan kemudian diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada enam kumpulan pembentangan kertas terbaik yang disampaikan oleh kedua-dua dekan fakulti.