BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menerima kunjungan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), bertempat di universiti berkenaan.
Kunjungan tersebut merupakan kesinambungan perbincangan antara pihak UNISSA dengan Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Republik Singapura Masagos Zulkifli bin Masagos Mohamad semasa membuat kunjungan hormat kelmarin.
Kunjungan delegasi daripada MUIS seramai tiga orang itu diketuai oleh Pemangku Pengarah, Capacity Building & Interfaith Engagement selaku Naib Dekan, MUIS Academy, Dr. Mohammad Hannan bin Hassan.
Kedatangan delegasi dialu-alukan oleh Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Mohd Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad yang seterusnya mengongsikan maklumat tentang penubuhan UNISSA dan hubungan dua hala pendidikan antara UNISSA dan Republik Singapura.
Pihak delegasi seterusnya memberikan maklum balas tentang hasrat pihak MUIS berkunjung ke UNISSA adalah semata-mata untuk memberigakan maklumat peranan MUIS dalam perkembangan dakwah dan pendidikan Islam.

Di samping itu juga, kunjungan tersebut juga bertujuan untuk mencari ruang kerjasama yang boleh diusahakan dalam bentuk perkongsian maklumat, penyelidikan dan penghantaran pelajar Singapura ke UNISSA.
MUIS melalui Pejabat Kerjaya dan Kesejahteraan Pelajar (The Students Career and Welfare Office) terus memantau perkembangan pelajar-pelajar Singapura yang berada di luar negara seperti yang sedang mengikuti pengajian di UNISSA.
Setakat ini seramai 18 orang pelajar daripada Singapura sedang mengikuti kursus pengajian di UNISSA dalam bidang Sarjana Muda dan Sarjana.
Kunjungan berkenaan diakhiri dengan sesi dialog antara delegasi MUIS dan dekan-dekan fakulti yang turut hadir sama dalam perjumpaan berkenaan.