Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV- Dalam rangka program lawatan ilmiah, Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Palopo, Indonesia telah mengadakan lawatan ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Pengajian Siswazah (PPS) baru-baru ini.
Seramai 40 siswazah dan beberapa tenaga akademik dari kedua-dua IPT Islam menyertai program berkenaan.
Kunjungan delegasi daripada IAIN Palopo disambut oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Pengarah PPS, Dr Azme bin Haji Matali.
Lawatan delegasi yang diketuai Direktor Pascasarjana, Dr HM Zuhri Abu Nawas bertujuan bagi mengaktifkan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi pengajian tinggi Islam.
Acara program tersebut berbentuk diskusi ilmiah melalui penyampaian kertas kerja yang telah dibentangkan oleh beberapa tenaga akademik UNISSA dan IAIN Palopo.
Di samping itu, pertemuan antara kedua-dua IPT Islam dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang sudah terjalin sekian lama di samping memperoleh ilmu yang bermanfaat.