UNISSA terima pengiktirafan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melangkah ke hadapan dalam usahanya untuk menjadi sebuah universiti yang dikenali di peringkat antarabangsa apabila menerima pengiktirafan sebagai sebuah institusi bertaraf empat bintang plus dalam kategori universiti gunaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, pengiktirafan berkenaan adalah berdasarkan sistem penilaian University Performance Metrics (UPM) yang diterajui oleh Vietnam National University dengan kerjasama Rangkaian Universiti ASEAN (AUN).

Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dipetik berkata, “Pencapaian ini merupakan langkah permulaan yang baik bagi UNISSA untuk terus maju ke hadapan sebagai sebuah universiti bertaraf antarabangsa yang menyediakan program pengajian, penyelidikan dan pembinaan insan.”

Ini, tambah beliau, melalui kaedah-kaedah holistik, berteknologi terkini selaras dengan perkembangan dunia, serta mempertingkatkan lagi usaha mencapai pengiktirafan yang lebih tinggi di masa akan datang.

“Pengiktirafan ini juga menunjukkan bahawa universiti Islam juga mempunyai kelebihan dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Dalam edisi UPM 2021, UNISSA memperolehi lima bintang dalam kategori penyelidikan di samping itu, universiti berkenaan juga memperolehi empat bintang dalam enam daripada lapan kategori penilaian iaitu urus tadbir strategik, pendidikan, ekosistem inovasi, infrastruktur teknologi maklumat, pengantarabangsaan, dan khidmat masyarakat.

Kenyataan menyatakan, penarafan itu menunjukkan bahawa sebagai sebuah institusi tinggi Islam yang tulen, UNISSA juga mampu mencapai pengiktirafan antarabangsa dan terus maju ke hadapan, khususnya dalam menangani cabaran era Revolusi Industri 4.0.

Hasil daripada penilaian terhadap 52 petunjuk dalam lapan kategori itu, penyelidikan merupakan kategori yang memperoleh mata tinggi dengan mendapat 182 mata dan lima bintang.

Ini menunjukkan UNISSA juga mampu bergiat aktif dalam menghasilkan penyelidikan yang berkualiti tinggi sama seperti universiti-universiti lain.

Kecemerlangan UNISSA dalam kategori pendidikan juga turut membanggakan dengan memperoleh 249.5 mata.

Dalam kategori tersebut, tambah kenyataan, UNISSA memperoleh lima bintang dalam lapan daripada 15 petunjuk dan antaranya, kualiti dan reputasi fakulti, saiz pendidikan lepas ijazah, pembangunan program teknologi baharu, dan kepuasan pelajar dan majikan terhadap pengajaran.

Menurut laporan daripada UPM, UNISSA telah mendapat mata penuh dan lima bintang dalam beberapa petunjuk dalam kategori pengantarabangsaan, terutama dalam menyediakan program-program yang menggunakan bahasa asing, seperti Bahasa Arab dan Inggeris, sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan.

Ini menunjukkan bahawa UNISSA mampu menyerlahkan kekuatannya dan komitmen berterusan dalam menyediakan program-program berkualiti yang mampu menarik minat pelajar antarabangsa, selaras dengan visi UNISSA untuk menjadi hab pengajian tinggi Islam serantau.