Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini, telah menerima sebanyak 66 buah buku yang disumbangkan Suruhanjaya Republik Islam Pakistan di Negara Brunei Darussalam pada majlis yang diadakan di Perpustakaan UNISSA.
Hadir menerima sumbangan buku berkenaan, yang disampaikan oleh Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Brunei Darussalam, Ahmed Ali Sirohey, ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Rektor UNISSA seterusnya mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan tersebut, yang sekali gus menambah lagi bahan bacaan dan koleksi Perpustakaan UNISSA sebagai rujukan kepada orang ramai khususnya para mahasiswa UNISSA.
Setakat ini lebih 200 buah buku, yang meliputi pelbagai topik seperti kajian Islam, hubungan antarabangsa Pakistan, kebudayaan, politik, ekonomi, sejarah, tokoh-tokoh terkenal serta beberapa buku akademik, telah disumbangkan oleh Suruhanjaya Tinggi Republik Islam Pakistan kepada UNISSA sejak 2016.
Terdahulu sebelum itu, satu perjumpaan telah diadakan di Pejabat Rektor UNISSA dalam rangka mengeratkan lagi hubungan kerjasama dua hala antara UNISSA dan Suruhanjaya Tinggi Republik Islam Pakistan. Perjumpaan itu juga antara lain bertujuan untuk merencana program-program ilmiah akan datang, yang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam mengukuhkan hubungan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Islam Pakistan.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Rektor UNISSA, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad dan Penolong Rektor, Dr Arman bin Haji Asmad.
